‘Dia Bukan Syurga’: Megadrama Astro Yang Mengangkat Kisah Perjuangan Wanita Moden

dia bukan syurga dia bukan syurga

Percintaan Toksik Dalam Perspektif Rissa Ahdiya Dari Novel Ke Layar Astro

Astro terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab utama drama tempatan dengan mempersembahkan sebuah lagi kisah penuh konflik dan emosi menerusi drama bersiri terbaharu, Dia Bukan Syurga. Drama ini bakal mula bersiaran pada 19 Mei 2025, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104), serta boleh distrim menerusi platform Astro GO dan sooka. Naskhah ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ezzany Jasny, Niezam Zaidi dan Nazim Othman, serta mengangkat tema yang semakin relevan dalam masyarakat hari ini realiti cinta toksik dalam sebuah perkahwinan.

Dia Bukan Syurga merupakan adaptasi daripada novel pemenang anugerah karya Rissa Ahdiya, penulis prolifik yang sebelum ini mencipta fenomena menerusi Andai Tiada Dia. Menerusi 32 episod yang menyentuh emosi, kisah ini mengisahkan Nuha (lakonan Ezzany Jasny), seorang wanita penyayang yang mendirikan rumah tangga dengan harapan dapat membimbing dan mengubah sikap suaminya, Tajul (Niezam Zaidi). Namun, cinta yang diimpikan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Tajul mula mengawal hidup Nuha, melakukan penderaan emosi dan fizikal. Di tengah kekalutan itu, muncul Arham (Nazim Othman), abang iparnya yang penuh keprihatinan dan menjadi simbol harapan buat Nuha dalam mencari semula dirinya yang hilang.

Di bawah arahan kreatif Rashid Sibir dan terbitan Radius One Sdn Bhd, drama ini bukan sekadar menyampaikan jalan cerita yang dramatik, tetapi juga membawa mesej yang mendalam tentang keberanian seorang wanita untuk bangkit dari kegelapan. Runut bunyi rasmi drama ini, berjudul “Dalam Sujudku”, turut memberi impak emosi tersendiri menerusi nyanyian merdu Amira Othman.

Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, Dia Bukan Syurga merupakan naskhah yang sarat dengan mesej bermakna yang mencerminkan dilema sebenar yang dihadapi ramai wanita hari ini. Katanya, “Kami percaya sesebuah drama itu bukan hanya untuk hiburan semata-mata. Dia Bukan Syurga mengupas isu penting – adakah cinta cukup untuk menjamin kebahagiaan, atau adakah kita harus lebih bijak dalam memilih pasangan, terutama apabila berdepan dengan sikap pasangan yang toksik.” Tambah beliau, drama ini berjaya menyentuh hati penonton dengan emosi yang jujur serta naratif yang membina kesedaran terhadap keperluan penyembuhan diri.

Dengan naratif yang kuat dan realistik, Dia Bukan Syurga menyentuh isu penderaan rumah tangga, manipulasi emosi serta perjuangan seorang wanita mencari semula suara dan nilai dirinya. Drama ini menyerlahkan bahawa kekuatan sebenar seorang wanita terletak pada keberaniannya untuk melepaskan sesuatu yang merosakkannya, dan memulakan langkah baharu demi kesejahteraan diri.

Untuk menonton Dia Bukan Syurga, para penonton boleh melanggan Pek Astro One serendah RM49.99 sebulan atau menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbps bersama Pek Hiburan dengan hanya RM139.99 sebulan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.astro.com.my atau hubungi WhatsApp di 03-9543 3838.